Friday, March 13, 2015

Bab 1

Cuaca pagi itu nampak baik, aku membawa ayah ke pejabat seperti pintanya semalam. Pada mulanya memang aku membantah, risau juga dengan keadaan ayah; kelihatan masih dalam keadaan emosi yang tak menentu kerana baru saja kehilangan Eryn.
Tapi setelah didesak dan dipujuk ayah ditambah lagi dengan leteran Mak Piah; aku akur juga akhirnya. Lagipun, ayah dah nampak semakin baik berbanding sebelum ini.
Sedar tak sedar, kami telah pun berdiri di hadapan pintu bilik mesyuarat. Aku menghela nafas panjang sebelum membuka pintu untuk ayah.

“Baik, seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, saya sepatutnya telah pun bersara memandangkan usia dan keadaan kesihatan saya yang semakin tidak mengizinkan.” Kagum betul aku lihat karisma yang ayah tunjukkan semasa berucap didepan pekerja-pekerjanya; ayah tampak begitu yakin dan bersemangat.

“Dengan ini, sukacitanya ingin saya maklumkan persaraan saya dan sekaligus melantik CEO baru bagi syarikat ERRYaNNA INDUSTRIES.” Mataku terbeliak mendengar pernyataan ayah itu;
‘Ber... bersara? CEO baru? Kenapa ayah tak cakap apa-apapun? Mungkin sebab itulah ayah beria sangat nak datang ke pejabat hari ini.’ Aku melihat reaksi pekerja-pekerja ayah yang juga menunjukkan reaksi yang sama;
‘Mesti diorang pun tak tahu perkara ni.’ Detik hatiku sambil menunggu nama CEO baru diumumkan dengan perasaan berdebar-debar.
‘Mesti ayah nak lantik otai syarikat ni’ Dengan tak semena-mena, aku pula yang gementar tak tentu pasal.
“Amier, mari sini.” Aku yang dari tadi berdiri tegak bagai tiang benderadi belakang ayah, tersentak apabila tiba-tiba dipanggil.
“Ya… ayah?” perlahan-lahan aku menghampiri ayah dari belakang.
“Amier, hari ini ayah nak berikan Amier tanggungjawab yang besar dan paling berharga dalam hidup ayah; selain keluarga ayah.” Ayah meletakkan tangannya dibahuku.
“Sa.. saya tak faham, ayah..” Aku yang terpinga-pinga dari tadi jadi semakin keliru apabila ayah hanya tersenyum padaku.
“Tuan-tuan dan puan-puan, saya perkenalkan; ini, anak lelaki saya, Amier Shah Redza…” Ayah berhenti seketika sambil memandangku.
‘Ayah…’ Aku yang pada mulanya berasa kekok, terharu dengan kenyataan ayah yang mengaku aku anaknya dihadapan sekalian pekerja.
“Juga… selaku CEO baru bagi ERRYaNNA INDUSTRIES.” Ayah memberikan sebaris senyuman sambil menepuk bahuku.

Terkejut dengan tindakan ayah tadi, aku hanya mendiamkan diri untuk seketika; tak ingin aku menimbulkan kekecohan semasa semua pekerja masih berada didalam bilik itu. Setelah keluar dari bilik mesyuarat,barulah aku berani bersuara,
“Ayah, tapi kenapa saya? Saya kan tak layak untuk jawatan ni? Nanti apapula kata Ahli Lembaga Pengarah dan pekerja-pekerja lain? Sedangkan saya ni tak ada pengalaman dan saya yakin mereka lebih berhak untuk jawatan ini dari saya, dan…” Belum sempat aku menghabiskan ayat, ayah mencelah;
“Kau tak sudi tolong ayah?” Aku terdiam.
“Bukan itu maksud saya ayah, cuma saya rasa macam tak adil pula pada pekerja lain.” Aku cuba untuk tidak mengguris hatinya.
“Tapi, bagaimana kalau ayah tak percayakan mereka dan lebih percayakan kau?”
“Tapi, ayah…” aku masih serba bersalah.
“Kau tak payah risau perihal lain; lagipun, aku pengasas dan pemilik tunggal syarikat ni… aku ada kuasa penuh untuk lantik sesiapa saja yang aku suka.” Senyap; aku mati akal.
“Ayah tak pernah percayakan sesiapa selain kau; terutamanya selepas Eryn dah tak ada ni. Sebab itu jugalah, kau; orang yang ayah bagi kepercayaan penuh untuk menjaga Eryn dulu. Ayah harap Amier faham dengan keputusan ayah dan terima jawatan ini memandangkan ayah sudah tiada sesiapa lagi dalam dunia ini kecuali Amier.” Tak sampai hatiku hendak menolak permintaan ayah.
“Baiklah ayah, kalau itu keputusan ayah; Amier ikut saja.” Akhirnya aku akur.
“Terima kasih, Amier… ayah tahu ayah boleh harapkan kau.” Ayah memelukku sambil tersenyum puas.
‘Macam mana aku boleh tolak permintaan ayah? Sedangkan selama ini, ayahlah yang selalu bantuku sejak kecil dulu juga semasa aku perlukan kasih sayang seorang ayah; yang dah lama aku rindu.’ Itulah yang bermain difikiranku apabila aku menerima keputusan ayah tu.

“Eryn Erryanna binti Zami Ibtisam, saya kecewa dengan sikap kamu waktu P&P berlangsung. Sudah berapa kali hendak saya ulang pada kamu? Waktu pembelajaran berlangsung, kamu perlu tumpukan perhatian; bukannya tidur didalam kelas!” Gadis 17 tahun yang senyap sejak tadi hanya membuat endah tidak endah akan teguran gurunya itu.
“Eryn! Kamu dengar tidak apa yang saya cakapkan tadi?” Guru yang tiba-tiba berang dengan kelakuan pelajarnya ini, mulai meninggikan suara. Gadis itu tersentak seketika sebelum kembali tenang.
“Ya… cikgu, saya dengar. Boleh saya balik kelas sekarang? Sekarang pun waktu P&P. Nanti kalau saya lewat masuk kelas, cikgu tulis ponteng pula.” Muka cikgu Rozila yang bertukar merah kerana marah itu mulai reda apabila cikgu Huzaimi masuk ke biliknya untuk berjumpa dengan Eryn kerana ada hal berkaitan pembelajaran di kelas. Selepas keluar dari bilik cikgu Rozila, barulah Eryn bersuara;
“Nasib baiklah cikgu datang, kalau tidak bernanahlah telinga saya dengar cikgu Rozila berleter tadi.” Gadis itu membantu cikgu Huzaimi mengangkat buku-buku rakan sekelasnya sambil tersengih.
“Awak pun satu, kenapa awak selalu tidur dalam kelas? Malah, dalam kelas saya pun sama; apa masalah awak sebenarnya?” Eryn yang tadi tersenyum masih cuba untuk mengekalkan reaksinya dihadapan cikgu Huzaimi,
“Tak ada apa-apalah cikgu… bosanlah, kadangkala sebab saya tak faham. Itu saja, awak tak payah risau; saya tak ada masalah lain.” Terangnya dengan nada rendah.
“Kalau betul apa yang awak cakapkan ni, saya harap awak boleh berubah dan mula belajar untuk berbaik dengan cikgu-cikgu di sekolah ini terutamanya yang mengajar awak. Lagipun, awak kena dapatkan restu mereka; awak kan nak ambil peperiksaan SPM tahun ini.” Gadis itu hanya mendiamkan diri buat seketika.
“Oklah cikgu, mulai hari ini saya akan cuba sedaya upaya untuk baiki diri saya. Jadi, tak payahlah awak risau lagi, ya?” akhirnya dia bersuara selepas agak lama berdiam.
“Baik, saya pegang janji awak.” Kata cikgu Huzaimi sambil menghulurkan jari kelingkingnya dan disambut dengan jari kelingking Eryn, tanda janji. Hubungan mereka memang rapat memandangkan Huzaimi adalah anak angkat Haikal; ayah tiri Eryn.
Namun, Eryn hanya menerima Huzaimi sebagai abangnya dan bukan Haikal sebagai  bapanya.
Sampai saja di rumah, Eryn dikejutkan dengan berita ibunya dimasukkan ke hospital kerana kecederaan yang agak parah akibat dipukul. Eryn tiba diwad ibunya pada malam hari kerana dia bekerja sepanjang hari.
“Mak…” air mata mengalir seiring digenggam tangan ibunya dengan penuh kasih.
“Eryn dah balik? Mak dah lama tunggu, mak nak makan dengan Eryn.” Kata wanita  itu; kelihatan pucat.
“Maafkan Eryn, sebab Eryn balik lambat, maaf sebab buat mak tunggu Eryn. Mak tak apa-apakah? Kalau Eryn selalu ada dirumah, mesti tak jadi macam ni… maafkan Eryn, mak…” Makin  bergetar  suaranya.
“Tak mengapalah, bukan salah Erynpun.”Wanita itu tersenyum sambil mengusap kepala puteri kesayangannya itu.
Sejak peristiwa itu, Eryn kian berubah kerana tidak mahu membebani ibunya. Dia makin bijak mengatur masa dalam melakukan aktiviti hariannya; belajar, kerja dan menemani ibunya.

Namun pada satu malam, seperti kebiasaannya Haikal pulang dalam keadaan mabuk. Kebetulan, Eryn pulang awal pada malam itu kerana majikannya mempunyai hal peribadi. Jadi premis ditutup awal. Eryn telah melihat satu pandangan yang paling dibencinya berlaku didepan mata, ibunya telah diperlaku kasar oleh Haikal ketika hendak memimpinnya masuk.
Eryn yang dah lama bersabar dengan kelakuan Haikal terhadap ibunya telah bertindak malam itu. Ditolaknya Haikal yang mabuk itu keluar dari rumah lalu dikuncikan pintu dari dalam, menyebabkan lelaki yang masih dibawah pengaruh alkohol itu menjadi berang dan terjerit-jerit diluar rumah.
Eryn segera mendapatkan ibunya yang jatuh kerana ditolak Haikal tadi. Ibunya yang baru sedar akan tindakan anak terhadap suaminya itu; mula berasa marah. Wanita itu menepis tangan Eryn, lalu bangun dan bergegas  ke pintu rumah;membuka pintu untuk suaminya.

“Kau dah gila? Kenapa kau halau laki aku? Ini bukan rumah kau, jangan pandai-pandai nak bertindak ikut sesuka hati kau!” Aku tersentak dengan kata-kata mak, aku tak percaya emak sanggup berkata begitu.

‘Mak membela lelaki jahanam itu walaupun mak dah lama diseksanya, kenapa? Kenapa mak sanggup memilih lelaki itu dari anaknya sendiri?’ Tapi aku enggan melawan, aku hanya beredar ke bilikku dengan perasaan tidak puas hati.

No comments:

Post a Comment